Selebriti tanah air harap negara akan pulih dari wabak Covid-19

Selebriti tanah air harap negara akan pulih dari wabak Covid-19

Nurul Huda Abhar

KETIKA negara sedang bergelut dengan peningkatan mendadak kes Covid-19, kerajaan mengambil langkah menekankan kawalan kendiri bagi memastikan penularan wabak ini dapat dikurangkan.

Pesanan khidmat masyarakat melalui pelbagai agensi dapat dilihat bagi memastikan masyarakat tidak leka tentang keselamatan mereka.

Golongan selebriti tanah air tidak ketinggalan memberi peringatan di laman sosial masing-masing berkenaan langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

Menerusi semakan Malaysiapost hari ini di laman sosial Instagram (IG), beberapa selebriti yang mempunyai lebih sejuta pengikut membuat pesanan dan memberi nasihat mengenai pencegahan wabak itu.

Menerusi hantaran oleh pasangan selebriti popular, Johan dan Ozlynn Wati, mereka memuat naik foto ketika bercuti baru-baru ini dengan tulisan merindui saat untuk melancong lagi.

Johan dan Ozlynn

Menurut pasangan itu, mereka berharap pandemik itu berakhir segera supaya semua dapat keluar mencari rezeki untuk keluarga tanpa perasaan bimbang.

“Sebelum belayar elok jek kulit.. lepas belayar, berendam, berjemur..habis sopak kulit..haihhh tengok gambar ni terus rasa rindu nak bercuti dengan anak-anak.. harap Covid-19 ni cepat la hilang. korang semua jaga diri tau.. jangan keluar rumah kalau tiada apa-apa kepentingan.

“Semoga kita semua dilindungi dan dijauhi dari Covid-19 atau penyakit lain.. korang jaga diri baik-baik ok. Moga semua pulih macam biasa. Kita semua dapat mencari rezeki untuk keluarga dengan selamat. Kami doakan semoga korang semua dimurahkan rezeki hendaknya,” tulis pasangan itu.

Penyampai radio Koolfm, yang mesra dikenali sebagai Muaz mengingatkan pengikutnya memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga penjarakan sosial satu meter apabila berada di tempat awam.

Muaz, Koolfm

“Gaissss! nak keluar sila pakai pelitup muka, hand sanitizer jangan lupa bawa, elak pergi tempat ramai orang, jarak antara orang depan satu meter atau lebih, letih dah nak cakap ni, tapi kena cakap juga sebab kita belum menang teruskan kita jaga kita gaiss! Ingat kita jaga kita..,” tulisnya.

Sementara itu, Youtuber terkenal, Bella Khann menerusi satu hantaran video di IG membuat parodi aksi netizen setelah mendapat tahu rakan mereka baru pulang dari melancong dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bella Khan

Bella juga berdoa agar PKP tidak dilaksana semula dan meminta pengikut sentiasa menjaga keselamatan diri.

“Tag kawan korang yang tak rela jika ada lockdown lagi. Minta tak ada lah kan, tapi apa kan daya kita kena patuh! Pakai mask sentiasa ok! Ingat,” tulisnya.

Turut membuat peringatan tentang Covid-19 adalah seorang lagi Youtuber dan selebriti IG (insta famous), Nasz Kenyang yang popular dengan video pendek lakonan bersama Rose Nicotine, juga insta famous.

“Siapa kisah antara kita? Dengar cerita PKP dilanjutkan balik? Ready ke tak? Ayuh guys, kita kawal pergerakan kita sebelum makin meningkat dan meningkat Kes Covid-19 di Malaysia,” tulisnya.

Semalam, kes harian Covid-19 mencatatkan 317 kes baharu, semuanya penularan tempatan.

Kes positif Covid-19 meningkat secara mendadak tiga hari berturut-turut dan semalam adalah kes penularan tempatan paling tinggi pernah direkodkan di negara ini. – Malaysiapost

[Ucapan ini diambil tanpa suntingan di laman IG]