Lantikan Dr Aliakbar buka lembaran baharu PAS di Sabah – Hadi

Lantikan Dr Aliakbar buka lembaran baharu PAS di Sabah – Hadi

Nurul Huda Abhar

PELANTIKAN Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan antara enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, membuka lembaran baharu bagi menjalin hubungan lebih erat dengan masyarakat di negeri itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, melalui pelantikan Dr Aliakbar, PAS akan lebih dekat dengan masyarakat Sabah, terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.

“Sesungguhnya keberadaan PAS di Sabah sejak lebih 35 tahun adalah bukti kesungguhan PAS dalam memperkukuh perpaduan, menyemarak pendidikan dan membela kebajikan rakyat merentasi kaum dan fahaman agama.

“Kepada Dr Aliakbar Gulasan dan PAS Sabah, semoga kalian diberikan kekuatan dan pertolongan dalam melaksanakan tanggungjawab ini demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Hadi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Sabah dan Persekutuan atas kepercayaan kepada PAS.

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji bin Haji Noor dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan untuk melantik Dr Aliakbar sebagai ADUN Sabah (dilantik),” katanya lagi. – MalaysiaPost