Zul Handy Black kesal ada pihak tidak puas hati terima teguran

Zul Handy Black kesal ada pihak tidak puas hati terima teguran

Nurul Huda Abhar

BEKAS penyanyi rock, Zul Handy Black menzahirkan rasa kesal apabila terdapat sesetengah pihak tidak berpuas hati dengan tegurannya di media sosial demi kebaikan umat Islam.

Menerusi hantaran di laman sosial Instagram (IG), Zul memberitahu niatnya hanya untuk memberi nasihat namun dibidas kembali individu yang kurang senang dengan tegurannya.

“Bila tegur, banyak respons yang berbunyi, macam kau seorang masuk syurga, kubur masing-masing, kau pun dulu teruk juga, siapa kau nak tegur orang dan macam-macam lagilah.

“Aku buat sebab Nabi SAW suruh buat kerja dakwah. Sampaikan walaupun sebaris ayat. Dakwah datang dengan pelbagai gaya, corak, bentuk dan kaedah. Sahabat Nabi, ada yang berlembut, ada yang berkeras,” tulisnya semalam.

Zul atau nama sebenar Nurzul Suphia’an Sa’ban, 45, juga menyatakan dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai Muslim untuk memberi nasihat namun terpulang kepada umum bagaimana penerimaan mereka.

Pelakon filem Mantra itu juga tidak berkecil hati jika tegurannya menimbulkan rasa kurang senang bagi sesetengah individu dan beranggapan tugasnya memberi nasihat sudah memadai.

“Yang nak terima walaupun telinga bernanah dan hati berdarah, itu tandanya iman masih ada, dan Allah masih sayang, nak kita berubah ke arah yang lebih baik.

“Yang taknak terima tu…baiklah, aku bukan nak merampas keseronokan korang, tapi nanti, di akhirat, jangan aku dituntut apa apa lagi sebab di dunia ni, aku dah cuba dan berusaha jalankan tanggungjawab aku.

“Niat aku tak ada lain. Selain daripada nak ajak seramai manusia untuk sama-sama berusaha untuk ke syurga Allah. Niat dakwah,” katanya.

Sementara itu, menerusi satu hantaran IG story pula, Zul mengakui cara tegurannya sedikit kasar

“Memang mulut aku kasar bila menegur, tapi ingatlah seksa neraka Allah lagi kasar,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Zul tidak menyatakan lebih lanjut mengenai perkara yang menyebabkan dia membuat hantaran sebegitu.

Terdahulu, Zul dalam hantaran IG story yang berasingan ada menegur segelintir selebriti dan individu yang menyahut cabaran lagu “Empat Dara” yang tular baru-baru ini.

Zul selaku vokalis kumpulan rock Handy Black telah berhijrah dan mendalami ilmu agama, dan menukar penampilannya selepas menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim kedua pada 2015. – Malaysiapost

https://www.instagram.com/p/CGMfSUADdR2/?igshid=1pwfaxcjut52n