Tauke shisha didakwa sebabkan Lans Koperal patah jari

SEORANG pengusaha shisha bersama dua pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis hingga seorang daripadanya patah jari tengah tangan kanan dan menghalang tugas mereka.

Tertuduh, Mohamad Nornasharieq Rosli, 28, dan adiknya Mohammad Nor Aizaq Rosli, 25, serta pembantunya, Mohamad Hamiri Asraf Ab Hamid @ Abdul Aziz,24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa secara berasingan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli dan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Memetik laporan Sinar Harian, pertuduhan pertama, Mohamad Nornasharieq didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Lans Koperal Tuan Hafizuddin Tuan Muhd Sekuli sehingga menyebabkan cedera tulang tangan di sebuah bistro di Lembah Sireh di sini pada jam 8.15 malam, 14 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang lagi polis, Inspektor Indrah Nahu dengan cara menumbuk dan mencakar ke arah muka sehingga mengalami kecederaan pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula 16 November depan.

Sementara itu, Mohamad Hamiri Asraf dan Mohammad Nor Aizaq turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan bersama-sama menghalang tugas penjawat awam dengan menghalang pihak polis daripada membuat tangkapan terhadap Mohamad Nornasharieq.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 186 Akta Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala ketiga-tiga diwakili peguam, Nur Nadia Mohd Nordin.

Mereka dibenarkan untuk diikat jamin masing-masing RM4,000 Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 24 November depan. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights