Nilam Oshman
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memaklumkan, hari ini terdapat lapan kluster baharu iaitu Kluster Basung, Kluster Inai, Kluster Tempayan, Kluster Long, Kluster Cahaya, Kluster Bah Kota, Kluster Melati dan Kluster Bina Labuan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Basung melibatkan sebuah jeti nelayan di Kudat, Sabah, di mana 19 kes positif Covid-19 dan 148 individu negatif direkodkan.
Katanya, Kluster Inai turut dikenal pasti di Kudat, Sabah dengan lapan kes dikesan positif Covid-19.
“Bagi Kluster Tempayan pula melibatkan Kota Kinabalu dan Penampang di Sabah, di mana 19 kes dikesan positif dan satu individu negatif.
“Manakala, Kluster Long melibatkan Hulu Langat di Selangor dan Titiwangsa, Lembah Pantai, Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dengan 18 kes dikesan positif dan 260 individu negatif,” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Kluster Cahaya melibatkan Petaling di Selangor dan Tampin di Negeri Sembilan dengan 18 kes positif Covid-19 dan tiga individu negatif.
“Bagi Kluster Bah Kota pula melibatkan Sepang di Selangor dan Seremban di Negeri Sembilan dengan 10 kes dikesan positif.
“Kluster Melati di Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Klang di Selangor, dengan sembilan kes dikesan positif.
“Ini termasuk Kluster Bina Labuan yang melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan, lima kes positif,” katanya. – Malaysiapost