Ingkar kuarantin: Tiada tindakan terhadap Khairuddin

TIADA tindakan lanjut terhadap Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata, ia susulan Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berhubung tindakan melanggar kuarantin wajib Covid-19.

“Kertas siasatan telah rujuk ke pejabat peguam negara dan arahan untuk kes ini no further action (nfa)…Nfa atas alasan menteri tak diserahkan dengan borang 14 B di bawah seksyen 15 (1) akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin.

Berdasarkan keterangan tersebut, maka AGC memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang pertuduhan memandangkan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan polis sudah menyerahkan semula kertas siasatan (IP) membabitkan isu Khairuddin ke AGC.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya mengenakan denda maksimum RM1,000 terhadap Khairuddin atas kesalahan berkenaan.

Susulan itu, Khairuddin tampil memohon maaf dan berikrar untuk menyumbang gajinya bermula Mac hingga Ogos kepada tabung Covid-19.

Kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap Khairuddin menimbulkan kecaman warganet termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mencadangkan Khairuddin diheret ke mahkamah bagi mengelak daripada terus menjadi sasaran pembangkang.

Dalam itu Huzir berkata, pihak AGC berpendapat tiada keterangan kukuh bagi pendakwaan terhadap menteri berkenaan.

Sementara itu, mengenai siasatan yang dijalankan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Huzir berkata ia masih dalam tindakan.

“Masih dalam siasatan dan (akan) serah (hasil siasatan) kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Pada 17 Oktober lalu, polis mengesahkan sedang menyiasat Anwar berhubung enam kes termasuk penyebaran senarai nama anggota parlimen yang didakwa menyokongnya dan kes liwat -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights