PKPD di Penjara Seberang Prai dan PPR Taman Harmoni Sandakan

Nurul Huda Abhar

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Penjara Seberang Prai dan Kuaters Perumahan Penjara Seberang Prai berkuatkuasa 22 Oktober sehingga 4 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlaksanaan PKPD ini bagi membolehkan pergerakan keluar masuk dalam kawasan berkenaan dapat dikawal.

Beliau berkata, selain itu ia bagi mempermudahkan ujian saringan Covid-19 dibuat terhadap individu-individu bersasar di penjara.

“Jumlah keseluruhan individu terlibat seramai 3292 orang merangkumi banduan 2110 orang, staf penjara dan keluarga yang mendiami kuaters seramai 1000 orang, staf penjara 100 orang dan kakitangan awam sebanyak 32 orang.

“Tahanan yang bakal dibebaskan dalam tempoh PKPD akan diasingkan dan akan dikuarantin di tempat lain yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri Pulau Pinang,” katanya pada sidang media, sebentar tadi.

Menurut Ismail Sabri, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di kawasan tersebut adalah sama yang telah diputuskan oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau juga mengumumkan perlaksanaan PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni di Sandakan Sabah berkuatkuasa 23 Oktober hingga 5 November.

”Ini melibatkan 870 unit rumah, dan seramai 4481 penduduk yang terlibat. Semasa perlaksanaan perintah ini semua penduduk wajib mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Penduduk perlu duduk di rumah, tidak ada aktiviti keluar masuk kecuali bagi kecemasan dan kematian. KKM akan lakukan ujian saringan Covid-19 secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, bekalan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri Sabah yang akan dikoordinasikan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri untuk setiap penduduk di kawasan berkenaan.
-Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights