TIGA jenis kegiatan penipuan oleh sindiket Alvin Goh dan Addy Kanna adalah aktiviti Macau Scam, judi dalam talian (judi online) dan penipuan pelaburan matawang asing (forex).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, semua jenayah itu hanya berlaku di China adalah atas nama Low Yat Group.
Beliau berkata, kartel Scam Antarabangsa dari negara China melantik Alvin dan Addy Kanna sebagai koordinator untuk penyediaan kediaman dan pejabat dan peralatan logistik aktiviti penipuan.
“Peranan Addy dan Alvin sebagai koordinator adalah melengkapkan pusat panggilan untuk warga China yang juga ahli sindiket yang akan duduk di Malaysia bagi melakukan penipuan dengan menghubungi mangsa yang bakal menjadi sasaran di China.
“Tugas mereka adalah menyediakan pusat panggilan berkenaan di mana-mana unit kediaman dan pejabat di Malaysia sebelum diduduki ahli sindiket selama dua hingga tiga bulan.
“Mereka (Alvin dan Addy) akan dibayar berdasarkan setiap individu warga China yang berada di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau juga menjelaskan selain sindiket Alvin dan Addy, pihaknya turut mengesan dan memberkas sindiket tempatan yang menjalankan aktiviti penipuan dan judi online tempatan didalangi sindiket lain. – Malaysiapost