Nurul Huda Abhar
KEPUTUSAN kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi, Datuk Khairuddin Aman Razali yang telah melanggar kuarantin wajib Covid-19 membuktikan wujud layanan “dua darjat”.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, beberapa kes yang melibatkan rakyat biasa yang terkhilaf melanggar arahan kuarantin telah dijatuhkan hukuman denda dan penjara manakala Menteri dari parti PAS dibebaskan tanpa tindakan selanjutnya.
“Bukan sekadar itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini telah mensia-siakan pengorbanan dan usaha frontliners (barisan hadapan) serta rakyat biasa melawan Covid-19.
“Rakyat terpaksa akur dengan arahan yang sering bertukar hampir sepanjang masa kerana adanya ugutan dan hukuman terpilih, namun hormat mereka kepada pemerintah semakin menghilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata situasi ini amat merisaukan dan jika dibiarkan, maka akan terbentuk amalan hukum bukan berdasarkan undang-undang saksama (rule of law) tetapi mengikut kedudukan dan pangkat serta layanan media terpilih.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiada tindakan lanjut diambil terhadap Menteri Perladangan Perusahaan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, ia susulan Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berhubung tindakan melanggar kuarantin wajib Covid-19.
-Malaysiapost