Gangguan air di Lembah Klang pulih sepenuhnya

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan semua 1,292 kawasan terjejas sudah menerima bekalan air sepenuhnya jam 6 pagi tadi.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, syarikat itu mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor menyarankan para pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air melalui saluran-saluran komunikasi rasmi Air Selangor termasuk aplikasi Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram, serta laman sesawang kami di www.airselangor.com.

“Pengguna juga dinasihatkan sentiasa gunakan air secara berhemah,” kata kenyataan itu.

Isnin lalu, dilaporkan lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Gangguan air tidak berjadual itu membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights