Gencatan Politik: Annuar Musa nafi Ahmad Zahid terima tekanan pemimpin Umno

TAN Sri Annuar Musa menafikan bahawa kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung gencatan politik semalam, mempunyai kaitan dengan tekanan yang diberikan terhadap Presiden Umno itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata,
laporan sebuah portal berita mengenai perkara itu adalah tidak benar.

“Tidak benar malah tidak wujud pun mesyuarat selama itu,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, pertimbangan Ahmad Zahid itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan merupakan keputusan beliau sendiri.

Katanya, Presiden dan Umno memahami keutamaan adalah rakyat apalagi apabila ia melibatkan nyawa dan kesihatan.

“Negara di barat mengistiharkan darurat bagi menjamin kerajaan dapat tumpukan perhatian kepada Covid-19 dan keselamatan negara.

“Berbillion ringgit dana negara terpaksa di gunakan dan negara boleh bankrap angkara Covid-19.

“Mengganggu kestabilan perkara paling mudah.Tukar PM tidak menghapuskan virus ini. Malah pilihan raya juga tidak akan menyelamatkan rakyat malah boleh memporak perandakan lagi,” katanya.

Beliau berkata, situasi di negara ini adalah luar biasa.

“Tiada rujukan kecuali melihat kepada pelbagai pendekatan dan menggubal preskripsi kita sendiri.

“Kerajaan perlukan kestabilan dan juga perlukan masa. Bajet perlu ada untuk membiayai pelbagai tindakan termasuk operasi melindungi nyawa rakyat dan ia tidak boleh tidak,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu buat persiapan menggubal SOP baru yang komprehensif sebelum pilihan raya umum diadakan.

“Malah PRK seperti di Batu Sapi patut tidak diadakan sehingga semuanya terkawal.

“Semua mudarat yang jelas ini wajib dielakkan,” katanya.

Beliau berkata, sebenarnya kita sudah berada dalam darurat politik, kesihatan dan ekonomi.

“Apa ikhtiar kita untuk menyelamat ini semua? Justeru, tindakan Presiden Umno adalah tepat. Rakyat dan negara didahulukan bukannya politik.

“Malah kerajaan juga harus berani mencari ikhtiar secara bukan konvensional tetapi sebaliknya berfikir secara norma baru dan di luar kotak.

Semalam, sebuah portal berita mendakwa Ahmad Zahid membuat “Pusingan U” disebabkan menerima tentangan hebat daripada pemimpin Umno yang berkumpul di Ibu Pejabat parti itu.

Mesyuarat didakwa selama empat jam itu berlangsung dalam suasana tegang bagi membincangkan surat yang dihantar Ahmad Zahid kepada Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights