SEORANG peniaga kedai makan dan adik lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang hari ini, atas dakwaan membunuh suaminya yang buta awal bulan lalu.
Kedua-dua tertuduh, G S Angela Dewi, 45, dan adiknya G S Vijaya, 42, hanya menundukkan muka sepanjang prosiding dan mengangguk tanda memahami tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.
Bagaimanapun, mahkamah tidak merekodkan pengakuan daripada mereka kerana kes itu akan dipindahkan dan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Angela dan Vijaya didakwa dengan niat secara bersama dengan sengaja membunuh R Devarajoo, 59, di sebuah rumah di Lorong Jati, Rumah Murah PKNS Blok A, Kampung Baru Sungai Chua di sini di antara jam 12 tengah hari dan 1 petang pada 1 Oktober 2020.
Kedua adik beradik itu menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon untuk mendapatkan tarikh sebutan bagi membolehkan pihaknya mendapatkan dokumen berkaitan kes.
Muhammad Noor Firdaus menetapkan pada 21 Disember ini bagi tarikh sebutan.
Difahamkan pasangan itu sudah berkahwin selama 17 tahun dan mangsa adalah seorang pengusaha lori.
Semalam, media melaporkan seorang wanita sanggup merancang pembunuhan suaminya bagi mendapatkan harta lelaki itu dianggarkan lebih RM2 juta serta insurans nyawa bernilai RM800,000.
Menurut sumber, suspek berusia 45 tahun dikatakan turut mengupah adik lelakinya dengan menawarkan sebahagian harta yang bakal diperoleh selepas tugasnya selesai.
Suspek dikatakan menyuruh adik lelakinya datang ke rumah mereka untuk membunuh mangsa. -Malaysiapost