Muhammad Mustakim Ramli
KERAJAAN perlu menangani krisis Covid-19 dengan mempertahankan perlembagaan dan membenarkan demokrasi berfungsi.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pandemik Covid-19 hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan.
Beliau berkata, sesuatu yang membelakangkan sains, menjejaskan ekonomi dan memencilkan peranan perlembagaan akan meletakkan negara dan rakyat Malaysia dalam keadaan lebih sulit serta memburukkan lagi keadaan.
“Tanganilah krisis ini dengan mempertahankan perlembagaan, membenarkan demokrasi berfungsi, memperkemaskan respons sistem kesihatan dan keselamatan awam serta mengutamakan kepentingan rakyat biasa dengan tidak menambahkan kesusahan kepada mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu berkata, apa jua tindakan menangani krisis ini mestilah memaparkan keupayaan kerajaan bertindak dengan wajar, saintifik dan mengambil kira kepentingan awam.
“Malaysia tidak berada dalam kelumpuhan ekonomi, sistem kesihatan dan keselamatan awam. Malaysia telah berada dalam fasa pemulihan ekonomi yang terfokus, dirangsang dengan pelbagai stimulus yang selari dengan kepentingan rakyat dengan sistem kesihatan yang berfungsi dengan baik walaupun tertekan.
“Rakyat yang terkesan dengan krisis ini terus patuh dengan protokol kesihatan yang diwartakan. Rakyat Malaysia terus gigih berikhtiar dengan pekerjaan dan perniagaan bagi kelangsungan kehidupan.
“Saya menyeru agar kerajaan menangani krisis ini dengan fokus, berperlembagaan dan mempergiatkan segala usaha mendidik masyarakat berasaskan sains dan data,” katanya. – Malaysiapost