Darurat burukkan lagi ekonomi negara – Ku Li

Darurat burukkan lagi ekonomi negara – Ku Li

PENGERUSI Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li meluahkan rasa kecewa dan terkejut dengan keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat, kerana ia menjejaskan lagi keadaan ekonomi Malaysia.

Menurut Tengku Razaleigh, beliau bukan mempersoalkan hak Perdana Menteri untuk memohon pengisytiharan itu daripada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, beliau berpandangan tidak ada alasan jujur untuk kerajaan memohon pengisytiharan darurat itu.

“Sekiranya Perdana Menteri berjaya melaksanakan perintah darurat yang dicadangkan, sebagai seorang ahli ekonomi dan bekas Menteri Kewangan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (dan bekas Pengerusi Bank Dunia dan IMF), saya boleh tegaskan ia boleh memburukkan lagi keadaan ekonomi kita yang sudah teruk.

“Pelabur tempatan dan luar akan menghindari kita sepenuhnya. Keyakinan perniagaan akan musnah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Gua Musang menjelaskan beliau ada alasan untuk percaya bahawa Perdana Menteri dan jemaah menterinya sudah tidak lagi mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, inisiatif beliau bersama Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak harus dilihat sebagai untuk kepentingan dirinya atau berminat untuk jawatan Perdana Menteri, tetapi untuk mempertahankan prinsip sistem Parlimen. -Malaysiapost