Henti beri tekanan kepada Agong – Bersatu

Nilam Oshman

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa semua pemimpin politik berhenti memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan (YDP) Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, semua pihak harus memberi ruang kepada YDP Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk membincangkan cadangan Kabinet Malaysia.

Katanya, pemimpin politik perlu menghentikan segera kempen berbaur hasutan untuk memberi tekanan kepada YDP Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Dengan harapan keputusan yang bakal diputuskan kelak akan memihak kepada agenda dan kepentingan politik masing-masing.

“Saya yakin, YDP Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu akan membuat keputusan yang terbaik dengan mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia sebagai asas pertimbangan utama tanpa tunduk dengan tekanan mana-mana pihak,” katanya.

Ia berikutan, spekulasi mengenai pelaksanaan darurat kesihatan bakal dilaksanakan kerajaan apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong ekoran penularan Covid-19.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat.

Ia bertujuan bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights