BEKAS Peguam Negara, Tommy Thomas menyifatkan Parlimen boleh persidang seperti biasa meskipun negara berada dalam situasi ‘darurat’
Dengan memetik Perkara 150 (3), Perkara 150 (5) dan Perkara 150 (9) Perlembagaan Persekutuan, Tommy berpendapat parlimen boleh berfungsi seperti biasa jika ia tidak dibubarkan.
“Tindakan kerajaan adalah tidak berperlembgaan sekiranya menggantung parlimen dan melaksanakan Belanjawan 2021 dengan keputusan eksekutif.
“Sudah terang dan jelas bahawa mengisytiharkan darurat tidak akan membawa hasil yang diharapkan. Parlimen harus melaksanakan tugasnya.
“Oleh itu, Dewan Rakyat harus bersidang seperti biasa bagi sesi pembentangan belanjawan,” katanya dalam satu artikel, hari ini.
Semalam mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor bersetuju dengan cadangan untuk mengisytiharkan darurat bagi memerangi wabak Covid-19.
Selepas mesyuarat khas itu, Perdana Menter dilapor menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan, namun butiran mengenai pertemuan itu masih belum jelas.
Setakat ini belum ada sebarang pengumuman daripada kerajaan berhubung cadangan untuk mengisytiharkan darurat.
Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini meminta rakyat bertenang dan Agong akan memutuskan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadualkan esok.
Dalam pada itu, Tommy berkata Muhyiddin perlu berunding dengan pembangkang bagi memastikan Belanjawan 2021 dapat diluluskan.
“Masalah ini dibuat oleh 222 anggota Parlimen. Oleh itu, penyelesaiannya terletak di tangan mereka.
“Perdana Menteri dan lawan politiknya perlu memperuntukkan masa minggu depan untuk tawar menawar dan rundingan untuk sebuah kerajaan perpaduan.
“Mereka harus melaksanakannya dengan semangat muafakat dan kompromi.
“Rakyat Malaysia, yang seharusnya anda wakili, benar-benar jijik dengan keadaan semasa. Darurat adalah perkara terakhir yang kita kehendaki hanya disebabkan oleh cita-cita dan kerakusan ahli politik,” katanya lagi.- Malaysiapost