SITUASI yang berlaku ketika ini adalah petunjuk jelas apabila kuasa mentadbir diberikan sepenuhnya kepada orang-orang politik sahaja, kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail berkata, dalam situasi hari ini apa yang paling penting adalah kebajikan rakyat harus sentiasa diutamakan dan pemulihan ekonomi dapat terus bergerak dengan lancar.
“Semoga Allah memberkati kebijaksanaan Raja-Raja Melayu untuk menjaga kestabilan negara dan melindungi negara daripada ancaman orang-orang yang tamak dan menggilakan kuasa demi kepentingan peribadi.
“Inilah pentingnya sistem beraja dimana Raja-Raja Melayu berfungsi memberi kelebihan “check & balance” dalam pentadbiran negara.
“Doa dan harapan saya adalah Kestabilan. Semoga Allah sentiasa memberkati Raja-Raja Melayu,” katanya.
Hari ini, semua Sultan bersama Raja Perlis dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tiba di Istana Negara bagi menghadiri mesyuarat khas Raja-Raja Melayu.
Mesyuarat itu untuk membincang dan memperincikan syor dikemukakan kerajaan berhubung isu-isu semasa.
Jumaat lalu, spekulasi pengisytiharan darurat timbul apabila Perdana Menteri difahamkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz di Kuantan.
Malah, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, adalah di antara yang dilihat berada dalam konvoi mengekori Perdana Menteri ketika memasuki istana. -Malaysiapost