Tiada salah dari segi undang-undang untuk isytihar darurat – Apandi

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak bersetuju dengan tindakan beberapa pihak yang mengkritik langkah kerajaan yang mahu mengisytiharkan darurat.

Beliau berkata, negara-negara lain telah mengisytiharkan darurat untuk memerangi Covid-19, begitu juga Malaysia dalam berhadapan krisis kesihatan awam sebelum ini.

“Negara-negara lain, seperti Jepun, Perancis, Thailand dan New Zealand telah memilih untuk mengisytiharkan darurat bagi memerangi wabak Covid 19.

“Jadi, apa yang salah dari segi undang-undang mengenai isytihar darurat.

“Kita telah melakukannya sebelum ini untuk memerangi pencemaran rentas sempadan (jerebu) pada tahun 2005 dan 2013,” katanya seperti dilapor Malaysiakini, hari ini.

Kabinet semalam dilapor bersetuju untuk melaksanakan darurat yang dikatakan bagi menangani penularan Covid-19.

Bagaimanapun, pembangkang berpendapat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak yakin akan memenangi undi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, yang akan menunjukkan beliau hilang sokongan majoriti anggota parlimen.

Sementara itu, pendapat Mohamed Apandi ini berbeza dengan pandangan bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas.

Thomas berkata, tindakan kerajaan adalah tidak berperlembagaan sekiranya menggantung parlimen dan melaksanakan Belanjawan 2021 dengan keputusan eksekutif.

Memetik perlembagaan, beliau berkata Parlimen boleh berfungsi seperti biasa walaupun dalam keadaan darurat.

“Sudah terang dan jelas bahawa mengisytiharkan darurat tidak akan membawa hasil yang diharapkan. Parlimen harus melaksanakan tugasnya.

“Oleh itu, Dewan Rakyat harus bersidang seperti biasa bagi sesi pembentangan belanjawan pada awal November, seperti yang dijadualkan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights