Nurul Huda Abhar
PENGARAH Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, Samin Ongki mengucapkan tahniah kepada Pasukan Polis Marin Semporna Sabah kerana berjaya menyantuni seorang lelaki yang meminta bantuan bekalan makanan di Kampung Holo yang tular semalam.
Menerusi catatan di laman sosial Facebook rasmi Pasukan Polis Marin, beliau memandang tinggi Polis Diraja Malaysia (PRDM) yang bersiap siaga dalam semua aspek untuk kesejahteraan rakyat.
“Kisah Botronda RH47 PPM Semporna menyantuni seorang lelaki di perairan Kampung Holo, Semporna yang menarik perhatian netizen. Kesediaan PDRM itu boleh diibaratkan seperti “ular menyelusuri akar tidak menghilangkan bisanya” dengan mendekati masyarakat yang memerlukan.
“Rupanya lelaki tersebut telah kehabisan bekalan makanan. Kesudian PDRM menyapa membolehkan mereka mengetahui masalah lelaki tersebut.” Katanya dalam kenyataan Jumaat lalu.
Menurut Samin, atas keprihatinan PDRM, lelaki tersebut dan kejiranan yang tinggal di perkampungan atas air menerima bantuan bekalan makanan.
Katanya, dedikasi pasukan PDRM yang proaktif menjalankan rondaan dan sentiasa berfikir di luar kotak dapat mengenalpasti golongan masyarakat yang berada dalam kesusahan.
“Kisah ini wajar diketahui umum di sebalik sikap segelintir pegawai dan anggota yang mencemarkan imej pasukan yang sering diperbesarkan media. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita bersama,” ujarnya.
Semalam, tular satu video di laman sosial seorang lelaki sanggup menahan bot polis marin yang sedang membuat rondaan berikutan ingin meminta bantuan bekalan makanan.
Lelaki dikenali sebagai Ladja memaklumkan dia serta kejiranannya sudah terputus bekalan makanan, dan tidak dapat keluar untuk mendapatkan barangan kerana patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan seluruh Sabah.
Atas bantuan PDRM dan badan bukan kerajaan (NGO), bantuan kecemasan segera di hantar untuk 27 buah rumah di kawasan kampung atas air tersebut. -Malaysiapost