Mesyuarat Ahli Parlimen BN: Tiada apa-apa keputusan dibuat – Najib

Muhammad Mustakim Ramli

“TIADA apa-apa keputusan yang dibuat, hanya perbincangan,” kata Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebarang keputusan hanya boleh dibuat pimpinan parti.

“Ada macam-macam pandangan tetapi pandangan ini tidak boleh diambil kira yang penting keputusan parti.

“Ini hanya pandangan Ahli Parlimen. Keputusan muktamad akan dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) malam nanti,” katanya kepada media.

Najib berkata walau apapun berlaku Umno tidak akan berpecah dan kekal sebagai en-bloc.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai initipati mesyuarat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di PWTC, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, juga memaklumkan pertemuan itu hanya untuk memberi pandangan.

“Antara yang dibincangkan penolakan darurat oleh Raja-Raja Melayu dan kita menyokongnya,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu memaklumkan pembubaran Parlimen atau desakan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan juga tidak timbul dalam perbincangan berkenaan.

Ditanya adakah semua Ahli Parlimen Umno hadir, beliau memaklumkan tidak pasti namun sedar Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak ada dalam mesyuarat itu.

Perkara sama diakui Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memaklumkan tiada keputusan yang dibuat dalam mesyuarat selama lebih dua jam itu.

“Ia berjalan dengan baik, kita tidak buat apa-apa keputusan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights