Nurul Huda Abhar
SEKIRANYA negara terus terjerumus dengan pertikaian politik yang tidak berkesudahan, usaha untuk mencegah penularan Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara ini tidak akan dapat dilaksanakan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, ia ditambah dengan petugas barisan hadapan juga sudah terlalu penat untuk menghadapi situasi yang sama setiap hari.
“Jika perkara ini berterusan, Cuepacs bimbang motivasi kerja penjawat awam terutama petugas barisan hadapan akan luntur kerana merasakan terpaksa melakukan kerja-kerja yang tiada berkesudahan tanpa sokongan daripada semua pihak.
“Sewajarnya semua ahli politik tidak kira ideologi mengenepikan segala perbezaan serta perbalahan buat sementara waktu.
“Ahli politik boleh duduk berbincang sesama sendiri tentang cara terbaik untuk membantu rakyat yang kini semakin tertekan dengan situasi semasa politik dan peningkatan kes Covid-19 yang dicatatkan setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata, pemimpin politik perlu akur dengan gencatan politik yang dicadangkan dan beri tumpuan sepenuhnya terhadap usaha membantu rakyat sekiranya benar-benar ikhlas dalam hal tersebut.
Dapam pada itu, beliau berkata, Cuepacs menyeru kepada seluruh penjawat awam supaya tidak terlibat atau terbabit sama dengan pergelutan politik ketika ini.
“Sebaliknya penjawat awam perlu menetapkan fokus sepenuhnya dalam memberikan pekrhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
“Walau apa jua tekanan dan cabaran yang dihadapi ketika ini, Cuepacs yakin penjawat awam mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa dipengaruhi oleh kemelut politik ketika ini,” katanya.
Semalam, Raja-Raja Melayu bersidang bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa bagi membincangkan beberapa cadangan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terutamanya mengenai penularan Covid-19.
Susulan pertemuan itu, Istana Negara menerusi kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia, buat masa ini.
Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara. -Malaysiapost