DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek membidas kenyataan Mohamad Sabu mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah ‘terdesak’ menggunakan Akta Darurat ketika menjadi Perdana Menteri.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, bekas Perdana Menteri itu tidak bertindak demikian kerana beliau mengunapakai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika mentadbir negara.
Beliau berkata, akta itu pada awalnya digunakan terhadap komunis sebelum diperluaskan kepada pemimpin politik.
“Dr M (Mahathir) tak buat darurat, hanya guna ISA je.
“Sejarah ISA, mulanya untuk komunis. Lepas tu untuk pembangkang. Contoh Operasi Lalang 1987, ramai orang PAS, DAP, NGOs dan beberapa orang Umno seperti (Datuk Seri) Tajudin Rahman dan (Datuk) Ibrahim Ali pun kena.
“Abang Mat (Mat Sabu), Khalid (Abdul) Samad, (Lim)Kit Siang, mendiang Karpal Singh ada pengalaman juga,” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, malah Dr Mahathir menggunakan ISA pada 1998 khas untuk orang Umno yang menentangnya.
“Ini termasuk DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim), DSZH (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan (Datuk Seri) Zambry Kadir.
“Memang dihujung-hujung pemerintah PM4 pembangkang selamat, sebab itulah pada 2012 DSN (Datuk Seri Najib Razak) hapuskan ISA,” katanya.
Baru-baru ini, Mat Sabu dalam kenyataannya memuji Dr Mahathir kerana tidak pernah menggunakan Akta Darurat ketika berhadapan dengan pembangkang semasa menjadi Perdana Menteri.
Mat Sabu berkata, Dr Mahathir tetap tidak mengisytiharkan darurat walaupun berhadapan dengan insiden yang menggugat ketenteraman awam.
“Beliau terus berlawan dengan pembangkang menggunakan kuasanya terhadap pihak yang tidak mempunyai kuasa.
“Tetapi beliau tidak menggunakan akta darurat untuk menghadapi pembangkang, ” katanya. -Malaysiapost