HARGA baharu pelitup muka akan lebih murah mulai 1 November ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata harga maksimum pelitup muka tiga lapis (pembedahan/perubatan) akan diturunkan dari 95 sen kepada 65 sen seunit di peringkat borong manakala harga maksimum runcit diturunkan dari RM1 kepada 70 sen seunit.
Katanya, harga baharu itu akan dikuat kuasa melalui Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang turut menetapkan harga bagi pelitup muka satu lapis adalah 5 sen (borong) dan 7 sen (runcit); pelitup muka dua lapis ialah 16 sen (borong) dan 20 sen (runcit); manakala pelitup muka jenis N95 berharga RM5 (borong) dan RM6 (runcit).
Katanya, sebelum ini kementerian mewartakan harga maksimum pelitup muka jenis tiga lapis itu pada harga borong 95 sen seunit dan harga runcit RM1 seunit sejak 15 Ogos lalu.
“Pihak kementerian menjalankan sebanyak 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi pelitup muka di seluruh negara sejak 29 Januari sehingga 25 Oktober lalu.
“Melalui pemeriksaan tersebut, sebanyak 73 kes berjaya dikenal pasti dengan nilai rampasan RM543,737 dan membabitkan jumlah kompaun sebanyak RM518,400,” katanya dalam kenyataan. -Malaysiapost