‘Mat Afrika’ seludup syabu guna ‘pen marker’

HELAH menyeludup dadah jenis syabu menggunakan ‘marker pen’ terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah seberat 1,614 gram yang bernilai RM64,560, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), JKDM, Datuk Johari Alifiah, berkata dalam kejadian 23 Oktober lalu itu lelaki warga asing berusia 35 tahun diberkas kerana cuba menyeludup bahan terlarang itu ke luar negara melalui perkhidmatan kurier.

Katanya, lelaki dari benua Afrika itu ditahan sepasukan anggota Kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM pada jam 3.30 petang sedang berurusan di kaunter perkhidmatan kurier di Sentul, Kuala Lumpur.

Katanya, hasil tangkapan tersebut, pihaknya turut merampas sebuah kotak yang diikrar sebagai alat tulis, disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine.

“Hasil pembongkaran rapi ke atas kotak tersebut menjumpai bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine disorokkan di dalam ‘pen marker’ pelbagai warna dengan anggaran berat kasar keseluruhan ialah 854 gram dengan nilai dianggarkan RM34,160.

“Siasatan awal mendapati kotak tersebut akan dihantar ke sebuah negara di Asia Timur.

“Perintah tahanan reman lelaki itu telah diperoleh daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selama tujuh hari bermula 24 Oktober sehingga 30 Oktober depan,” katanya sidang media hari ini.

Johari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup degan rotan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Sementara itu, siasatan lanjut terhadap suspek yang dipercayai terbabit dengen sindiket dadah antarabangsa itu, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM menyerbu rumah suspek di Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang semalam.

“Hasil serbuan tersebut, pasukan menemui sejumlah bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine yang disorokkan di dalam ‘pen marker’ dengan anggaran berat kasar sebanyak 760 gram dengan nilai RM30,400.

“Menerusi soal siasat, suspek pernah melakukan perkara sama tetapi tidak dapat dipastikan berapa kali, kami sedang siasat lagi sama ada dia menyeludup dengan menyorokkan dadah menggunakan ‘pen marker’ atau cara lain,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights