PN tekad kerja kuat perangi Covid-19 – Azmin

PERIKATAN Nasional (PN) bertekad untuk terus bekerja kuat bersama rakyat dan petugas barisan hadapan negara bagi memerangi pandemik Covid-19.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tuntas memberikan kepimpinan dan berganding bahu bersama pakar kesihatan dan ekonomi serta pasukan keselamatan.

Ini katanya, untuk mencerakinkan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani wabak itu secara holistik.

Beliau berkata, PN juga menyambut baik semangat solidariti parti-parti komponen; PAS, STAR dan SAPP serta Ahli-Ahli Parlimen UMNO, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ia berikutan sokongan penuh dizahirkan terhadap kepimpinan Muhyiddin dan mendukung Kerajaan PN.

“PN menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik merentasi segenap batas perbezaan untuk segera mendakap kesatuan bersama rakyat demi memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata PN menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong yang mengiktiraf kejayaan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri dalam menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

PN juga, katanya, menjunjung kasih atas keyakinan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap pelaksanaan kebijakan dan tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan Persekutuan demi melindungi kesihatan rakyat, memelihara kebajikan dan menjamin keselamatan rakyat serta mencerdaskan ekonomi negara. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights