PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menafikan beliau berdebat hangat dengan Datuk Seri Najib Razak berhubung cadangan bekerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mengakui terkejut membaca laporan portal Malaysianow kononnya beliau dan Datuk Seri Nazri Aziz menentang Najib.
“Apa yang ditulis adalah tidak benar. Ya betul saya hadir di perjumpaan tengah hari tadi (semalam) tapi saya tidak menyerang DS Najib.
“Saya hanya memberi pandangan peribadi dan DS Nazri Aziz juga tidak hadir. Ini menunjukkan laporan portal ini tidak benar sama sekali,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu portal tersebut melaporkan mesyuarat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semalam menyaksikan perdebatan hangat berhubung cadangan Najib untuk bekerjasama dengan Anwar dan DAP.
Portal tersebut yang memetik sumber melaporkan, berdasarkan maklumat daripada sumber peringkat tertinggi Umno, cadangan bekas perdana menteri itu menyebabkan beliau mendapat kritikan hangat daripada ahli-ahli Parlimen BN.
Ia juga mendakwa antara yang lantang membantah Najib ialah Noh Omar.
Najib menerusi hantaran di Facebooknya semalam turut menafikan perkara tersebut. – Malaysiapost