PARTI Warisan Sabah (Warisan), sedia menyokong Belanjawan 2021 sekiranya perincian secara menyeluruh bagi membantu rakyat dan mengatasi penularan penyakit Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebagai contoh di Sabah, sektor perubatan dan kesihatan di negeri itu terlalu jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.
Katanya, Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada menyelesaikan kekurangan tersebut demi manfaat rakyat Sabah.
“Tidak ada masalah bagi sokongan kalau ia berpatutan, bertepatan dengan kita katakan selaras seperti apa titah Tuanku, Raja-Raja Melayu kepentingan rakyat kepentingan negara itu penting bagi kita.
“Kita akan bagi sokongan tetapi dalam pada itu contohnya kita di peringkat negeri Sabah, sistem kesihatan yang begitu jauh ketinggalan bukan hanya jumlah doktor yang tidak mencukupi bahkan juga hospital yang ada kadang-kadang itu tidak cukup untuk kita kuarantin,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, kerajaan perlu memastikan Covid-19 yang melanda Sabah diuruskan dengan sebaik mungkin termasuk menyediakan lebih banyak pusat kuarantin yang berdekatan dengan masyarakat demi memastikan rakyat tidak mengalami kesusahan.
“Sebelum ini, kita jadikan pusat sukan sebagai tempat kuarantin dan beberapa hari lalu saya ada berhubung dengan doktor di daerah-daerah di Lahad Datu, Tawau, Kunak, Semporna saya kata jadikan dewan masyarakat di Pulau Bum-Bum sebagai satu pusat kuarantin,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, sekiranya pesakit dipindahkan ke pusat-pusat bandar di Tawau atau Semporna, ia masih tidak akan mencukupi.
“Ia kerana tidak mudah bagi kita untuk pindahkan mereka tetapi kalau kita sediakan pusat seumpama itu di tempat yang tidak jauh maka perlu bagi kita ringankan beban rakyat, ini yang kita katakan prihatin belanjawan yang berkonsep prihatin kepada rakyat,” katanya lagi.
Tambahnya, Belanjawan 2021 bukan hanya berpaksikan kepada pembangunan semata-mata tetapi turut melibatkan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Beliau menyarankan agar kerajaan mengambil langkah yang boleh menyuburkan kembali sektor ekonomi sebelum mengenakan cukai kepada syarikat-syarikat perniagaan.
“Tidak kurang pentingnya bagi kita mengatasi masalah ekonomi negara kita, banyak syarikat di negara yang sudah lumpuh.
“Hasil negara kita yang kita peroleh setiap tahun tiga perempat daripadanya datang daripada cukai hampir RM160 bilion setiap tahun kita dapat cukai.
“Hari ini banyak syarikat sudah bankrap tidak begitu bermaya waktu kita mahu cukai mereka bagaimana kita kena suburkan ekonomi ini maka ada langkah-langkah dalam belanjawan itu untuk membolehkan kita dapat menyuburkan kembali sama ada daripada segi cukai atau moratorium,” katanya. – Malaysiapost