Muhammad Mustakim Ramli
KERAJAAN mewujudkan sembilan kluster bagi merancang pelan jangka sederhana dan panjang bagi menghadapi pandemik Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sembilan kluster itu terdiri daripada pelbagai sektor seperti ekonomi, kesihatan dan pendidikan, di mana setiap kluster diketuai seorang Menteri.
“Sidang khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa untuk menangani pandemik ini yang dipengerusikan saya untuk membuat perancangan jangka sederhana dan panjang.
“Ketika ini apa yang kita lakukam adalah jangka pendek. Jadi untuk pelan jangka masa sederhana dan panjang kita wujudkan sembilan kluster ini yang merangkumi semua sudut,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata semua kluster berkenaan sedang merangka pelan dan dalam masa terdekat kesemua akan membentangkan perancangan itu kepada jawatankuasa induk.
“Saya sebagai pengerusinya akan melihat perancangan ini untuk jangka masa panjang. Kita pun tidak tahu berapa lama Covid-19 ini.
“Seperti saya kata sebelum ini selagi vaksin tidak ditemui selagi itu ia akan berada di sekeliling kita, jadi kehidupan perlu diteruskan dan kerajaan akan berusaha merangka perancangan untuk menanganinya,” katanya. – Malaysiapost