KABINET meluluskan cadangan terbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion oleh Felda dengan jaminan kerajaan bagi membolehkan agensi itu melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dikemukakan terdahulu.
Satu laporan Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda tersebut telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, antara cadangan yang diterima oleh Jemaah Menteri ialah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan, meningkatkan pendapatan teras daripada tanah ladang Felda dengan menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan meningkatkan daya berdikari peneroka.
“Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan Felda yang dikemukakan.
“Kedudukan kewangan Felda juga dijangka mencatat aliran positif bermula tahun 2023 dengan pelaksanaan inisiatif berkenaan. Felda akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang dihormati dan berdaya maju.
“Penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh Felda tidak akan lengkap tanpa pengukuhan tadbir urus serta kecekapan dalam menguruskan ladang. Sehubungan itu, Lembaga Pengarah serta pengurusan Felda hendaklah komited meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambah baik tadbir urus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapa berkata, Felda adalah sebuah institusi yang amat penting dalam pembangunan negara, bagaimanapun agensi ini berhadapan dengan beberapa masalah serius yang perlu ditangani segera.
Tambahnya, kerajaan sudah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar dan turut disertai oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.
“Pasukan ini adalah kesinambungan daripada Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April 2019. Ia sudah mengenal pasti beberapa masalah utama yang dihadapi oleh Felda dan amat penting untuk ditangani segera.
“Antara masalah utama yang dihadapi ialah struktur modal yang tidak mapan dan bebanan hutang yang tinggi berjumlah RM10.6 bilion,” ujarnya.
Keadaan itu juga berpunca daripada sumber pendapatan yang berkurangan terutama penerimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah LLA.
“Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh Felda,” katanya.
Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh menerusi kenyataan Ahad lalu memaklumkan agensi itu bercadang mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya. – Malaysiapost