Semua parti politik perlu gesa PM lanjutkan moratorium – DAP

DAP menyatakan kesediaan bekerjasama dengan semua parti untuk menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melanjutkan moratorium pinjaman bank yang berakhir bulan lalu secara automatik.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata lanjutan sehingga Mac 2021 amat diperlukan kerana rakyat sedang menderita susulan penularan Covid-19 yang membantutkan pemulihan ekonomi.

“Sekiranya Muhyiddin enggan mendengar lebih 6.6 juta peminjam yang ditinggalkan ketika moratorium pinjaman berakhir pada 30 September, maka semua parti politik harus menuntut lanjutan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan lagi.

“Ini demi untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, untuk melanjutkan moratorium, ia akan menelan belanja RM6.4 bilion, yang mampu diserap oleh industri perbankan.

Moratorium pinjaman yang berkuatkuasa selama enam bulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun, mereka yang kehilangan pekerjaan dan belum bekerja semula akan mendapat lanjutan tiga bulan.

Mereka yang telah dipotong gaji, juga layak untuk medapatkan pengurangan kadar pembayaran balik. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights