Teruskan Piala Malaysia – Irfan

JURULATIH berpengalaman, Irfan Bakti, melihat tiada masalah buat Malaysian Football League (MFL) meneruskan kejohanan Piala Malaysia diteruskan pada musim ini.

Beliau berkata, masih banyak pilihan buat MFL dalam memastikan semua perlawanan membabitkan 16 pasukan dapat berjalan seperti dirancang.

Selain beliau turut berpendapat saingan Piala Malaysia pada musim ini juga begitu penting kerana pemenangnya bakal mendapat salah satu slot di kejohanan Piala AFC pada tahun 2021.

“Tidak wajar Piala Malaysia dibatalkan pada musim ini kalau ikut pandangan saya, kes Covid-19 ini bukannya merebak seluruh negara lagi dan hanya beberapa negeri sahaja dikenakan sekatan seperti PKPB.

“Jadi pilihan lain masih ada dengan memilih venue yang tidak banyak kes atau tidak dikenakan PKPB seperti negeri-negeri di Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu atau Kelantan.

“Format baharu yang akan dibawa oleh MFL juga bersesuaian dengan keadaan sekarang kerana hanya empat perlawanan sahaja maksimum akan dilalui mana-mana pasukan yang akan ke perlawanan akhir,” katanya seperti yang dipetik Facebook MFL, hari ini.

Undian TM Piala Malaysia akan dilangsungkan pada 1 November ini dengan perlawanan pusingan pertama bermula pada 6, 7 dan 8 November manakala suku akhir pada 12 dan 13 November disusuli separuh akhir pada 17 November dan final pada 22 November.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan sebelum ini menjelaskan pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang seperti Selangor, Kuala Lumpur, UiTM FC dan PJ City FC perlu bermain di venue luar Lembah Klang berikutan lanjutan PKPB sehingga 9 November ini.

Dalam pada itu, Irfan berkata, Piala Malaysia tidak boleh ditangguhkan lagi sehingga ke Disember bagi memberi ruang kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal bermain di Liga Juara-juara AFC.

JDT akan bermain dalam empat perlawanan Kumpulan G Liga Juara-juara AFC yang bermula 19 November ini sehingga 4 Disember ini membabitkan dua aksi dengan Guangzhou Evergrande.

“Ini lagi satu faktor yang perlu diambil kira jika mahu Piala Malaysia dijalankan iaitu kena mulakan secepat mungkin kerana JDT perlu berikan perhatian kepada Liga Juara-juara.

“Jadi kalau bermula lewat, sukar juga kepada JDT berikan tumpuan kepada kedua-dua kejohanan yang dijalankan serentak dan saya rasa tarikh yang dicadangkan oleh MFL sudah cukup sesuai,“ katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights