KERAJAAN Johor akan menubuhkan Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai benteng memerangi fahaman bercanggah Ahli Sunnah Wal Jamaah termasuk kumpulan Hizbut Tahrir.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata briged yang dijangka ditubuhkan tahun depan itu, antara lain turut berperanan sebagai sukarelawan membantu kerja-kerja kemasyarakatan di negeri berkenaan.
Katanya, briged itu pada peringkat awal menyasarkan 200 belia berumur 18 hingga 35 tahun dengan kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Darjah Khas Agama Sekolah Agama Kerajaan Johor, dan akan diberikan latihan dakwah.
“Briged ini di bawah seliaan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Johor bakal menjadi negeri pertama menubuhkan Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Kemungkinan kita akan memohon perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk melancarkan briged ini.
“Briged ini berperanan meliputi segenap aspek agama Islam, kita akan jadikan mereka sebagai benteng memerangi fahaman bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, terutama fahaman Hizbut Tahrir,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mengulas penerbitan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW di Perancis yang mencemarkan agama Islam baru-baru ini, Tosrin berkata, kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik serta provokatif.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri akan menghantar surat bantahan berhubung perkara itu kepada Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur pada 2 November ini.
Sementara itu, Tosrin berkata, hanya dua daerah iaitu Tangkak dan Kota Tinggi tidak dibenarkan mengadakan sambutan Maulidur Rasul oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan Covid-19. – Malaysiapost