PKPB: Sabah tak sertai Piala Malaysia

SAINGAN Piala Malaysia 2020 kekal berlangsung seperti dirancang, namun tanpa penyertaan skuad Sabah.

Skuad Tambadau tidak mendapat pelepasan keluar daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu yang dilanjutkan sehingga 9 November.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata tempoh kuarantin wajib 14 hari sekiranya pasukan Sabah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari ini telah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama kalah mati Piala Malaysia.

“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu Sabah di pusingan pertama diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke suku skhir.

“Pasukan Sabah kekal sebagai pasukan Liga Super untuk musim 2021 dan tiada hukuman bakal dikenakan kerana isu ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ab Ghani turut mengumumkan UiTM FC diberi kemenangan 3-0 selepas permohonan laluan khas skuad Sabah tidak dibenarkan MKN untuk perlawanan Liga Super yang sepatutnya berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 31 Oktober ini.

Saingan Piala Malaysia bermula 6, 7 dan 8 November ini kalah mati yang mana pasukan yang berdepan PKPB akan bermain di venue zon hijau pandemik Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani berkata format kenaikan dan penyingkiran Liga Super kekal seperti biasa.

Katanya, tiada penyingkiran pasukan Liga Premier selepas menyaksikan Amateur Football League (AFL) membatalkan saingan Liga M3 musim 2020.

“Dua pasukan menduduki tangga ke-11 dan 12 dari Liga Super turun ke Liga Premier dan dua pasukan teratas Liga Premier naik ke Liga Super kekal seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights