HUTANG Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebanyak RM78.33 juta sudah dijelaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah sejak mengambil alih pentadbiran negeri Mei lalu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata jumlah hutang dibayar adalah sebahagian daripada hampir RM147 juta yang ditanggung bermula 2017 hingga Mei lalu.
Katanya, hutang yang ditanggung itu dibayar sehingga Oktober dan masih berbaki RM68 juta.
“Kerajaan mengambil pendekatan mengurangkan beberapa kos operasi sebagai langkah penjimatan antaranya membatalkan kontrak kerja-kerja mesin rumput yang menelan kos RM99,000 sebulan atau hampir RM1.9 juta setahun.
“Sebaliknya tugas berkenaan diserah kepada kakitangan SADA yang dilakukan selepas waktu kerja. Hasilnya kos bulanan menjadi RM36,129 dan berlaku penjimatan sebanyak RM62,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi SADA, berkata melalui langkah itu, pihaknya menjimatkan 64 peratus kos operasi SADA.
Katanya, ia sebahagian langkah pengurusan baharu yang menghasilkan keupayaan besar SADA untuk bangkit semula berasaskan kepemimpinan dan modal insan dengan ‘talaan’ baru.
“Kita perlu kerja ikhlas kerana Allah, cari rezeki halal, jaga amanah, jauhi kepentingan diri dan puak, pelihara hubungan sesama warga kerja, adil dan saksama dan membuat keputusan bersama atas semangat syura.
“Selain itu kita tempatkan pegawai di posisi yang betul mengikut keupayaan, saling membantu, kerjasama, harmoni, dan tidak khianat,” katanya. – Malaysiapost