PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA Malaysia) sedia terbabit dalam perancangan Belanjawan 2021.
Menerusi kenyataan, MUDA menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong yang memanggil parti politik untuk duduk berbincang demi kestabilan politik dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
“Selari dengan politik baru yang dibawa, MUDA bersedia untuk berunding dengan semua pihak berkaitan isu rakyat merentasi perbezaan politik.
“Umum mengetahui, kerajaan kini menghadapi krisis defisit kepercayaan dalam meluluskan Belanjawan 2021 dan perkara ini terkait dengan kesejahteraan negara dan rakyat.
“Justeru, MUDA bersedia untuk ke hadapan berunding dengan kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat terbela dan terpelihara,” katanya.
Menerusi kenyataan yang sama, MUDA berkata, langkah Kementerian Kewangan membabitkan semua parti politik termasuk MUDA dalam proses penyediaan Belanjawan 2021 adalah penting dalam memastikan Belanjawan 2021 tidak dipolitikkan dan benar-benar bersifat inklusif. -Malaysiapost