ROS nafi tuduhan Pejuang

ROS nafi tuduhan Pejuang

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menafikan pihaknya melengah-lengah pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) seperti didakwa Jawatankuasa Penaja parti tersebut.

ROS menerusi kenyataan berkata, semakan rekod sehingga 29 Oktober mendapati permohonan parti itu belum diselesaikan sepenuhnya berdasarkan Sistem eROSES.

Jabatan itu berkata, pihak Jawatankuasa Penaja Parti diingatkan untuk berhubung terus dengan ROS bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran berkenaan.

Katanya, Pejuang juga telah dimaklumkan mengenai keperluan pendaftaran yang lengkap melalui sistem, sebelum pertimbangan sewajarnya dilakukan.

Semalam, Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang jawapan bertulis daripada ROS mengenai pendaftaran parti itu selepas tiga bulan.

Ahli Parlimen Kubang Pasu itu berkata, ia menunjukkan seolah-olah jabatan itu menjadi ‘alat kerajaan’ bermotifkan politik, sehingga boleh menimbulkan kecurigaan dalam kalangan rakyat.

“Situasi permohonan Pejuang amat berbeza dengan pendaftaran dua parti lain antaranya Parti Makkal Sakti Malaysia yang diluluskan dalam tempoh dua minggu, manakala Perikatan Nasional diluluskan dengan kadar segera dalam proses yang amat meragukan,” katanya. – Malaysiapost