71 peratus pencarum kurang RM50,000 simpanan – KWSP

71 peratus pencarum kurang RM50,000 simpanan – KWSP

SEBANYAK 71 peratus daripada ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai kurang daripada RM50,000 simpanan mereka,

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias, berkata itu bermakna mereka hanya mempunyai RM208 sebulan jika mengambil kira 20 tahun kehidupan selepas bersara dan ia tidak mencukupi untuk menjalani kehidupan yang selesa selepas tidak lagi bekerja.

“Secara purata dalam Akaun 1, ahli kita mempunyai sebanyak RM47,000. Ahli yang muda secara purata mempunyai hanya RM10,000 dalam Akaun 1.

“Itu bukanlah jumlah yang banyak, kalau kita campur dengan Akaun 2, ahli kita mempunyai RM13,000 dalam Akaun 2 dan bagi mereka yang bawah 30 tahun hanya mempunyai RM4,000 dalam Akaun 2.

“Jadi simpanan mereka tidaklah begitu banyak,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Sementara itu, beliau memaklumkan, satu lagi statistik membimbangkan ialah hanya satu daripada tiga pencarum mampu mencapai simpanan asas berjumlah RM240,000 ketika bersara.

“Selepas mereka bersara dan mengeluarkan duit daripada KWSP, satu daripada dua ahli KWSP akan menghabiskan simpanan mereka dalam masa lima tahun.

“Di Malaysia, sebagai anggaran, jangka hayat kita adalah 75 tahun. Jadi kalau kita keluarkan duit pada 55 tahun, dan habiskan duit sebelum mereka sampai umur 60 tahun, jadi mereka mempunyai, sebagai anggaran 15 tahun lagi jangka umur mereka untuk tempuhi,” katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan mempertimbangkan lagi cadangan pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP dengan mengehadkan secara one-off sehingga RM10,000 daripada akaun itu.

Namun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam menegaskan Akaun 1 KWSP adalah untuk simpanan masa depan dan ia akan memberi masalah lebih besar kepada pencarum pada masa akan datang. – Malaysiapost