Baik keluarkan akaun 1 KWSP dari pinjam ah long

Baik keluarkan akaun 1 KWSP dari pinjam ah long

ADA kemungkinan pekerja terpaksa meminjam dengan institusi kewangan sehingga ke pinjaman ah long disebabkan terhimpit untuk meneruskan kehidupan harian, kata Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani.

Justeru beliau berharap kerajaan mengkaji semula cadangan pengeluaran akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam usaha meringankan beban pekerja yang tertekan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Katanya, kelonggaran bagi pengeluaran itu antaranya dapat membantu mereka yang tiada kerja mahupun hilang pekerjaan.

“MTUC berpendapat daripada mereka meminjam, adalah lebih baik kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran tersebut.

“Kaedah ini dapat mengurangkan beban ekonomi pekerja terhadap pinjaman sedia ada, bil utiliti yang tertunggak mahupun kegunaan perbelanjaan kehidupan harian di samping menggunakan dana yang dikeluarkan ini sebagai modal perniagaan untuk menyara hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan membayangkan sukar untuk membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan. – Malaysiapost