Belanjawan 2021: Luahan, harapan peniaga kecil terhadap kerajaan

Belanjawan 2021: Luahan, harapan peniaga kecil terhadap kerajaan

Muhammad Mustakim Ramli

PENIAGA kecil meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan supaya mereka tidak dilupakan dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat, 6 November ini.

Bagi mereka 2020 ini memberi kesan besar kepada perniagaan masing-masing susulan penularan pandemik Covid-19.

Peniaga kedai runcit, Mohd Hafiz Mansor, 33 berharap kerajaan dapat memberikan pinjaman atau geran berbentuk modal pusingan kepada peniaga kecil sepertinya yang menjalankan perniagaan di luar bandar.

“Walaupun moratorium diberikan tetapi golongan peniaga kecil tidak mendapat manfaatnya. Bantuan Geran Khas Prihatin bernilai RM3,000 pula bersifat one-off dan apabila gelombong kedua dan ketiga Covid-19 muncul ia memberi kesan kepada peniaga,” katanya kepada Malaysiapost.

Peniaga kedai runcit, Mohd Hafiz Mansor

Beliau yang berniaga di Bukit Tangga, Kedah juga berkata, sebagai golongan peniaga mereka juga adalah petugas barisan hadapan kerana menyediakan “essentials service” kepada pengguna.

“Kerajaan mungkin dapat membantu dalam mengurangkan cukai perniagaan, cukai PBT serta lain-lain.

“Ini kerana kami tidak dapat berniaga pada waktu optimum disebabkan larangan serta SOP kerajaan yang menghalang kami beroperasi seperti biasa.

“Sedikit pengurangan cukai adalah hadiah yang sangat bermakna untuk peniaga kecil-kecilan terus bertahan di dalam era Covid-19 ini,” katanya.

Pendapat itu turut disokong pengusaha kedai makan, Mohamad Fitri Sahari yang berharap kerajaan dapat memberi ‘hadiah’ dari segi pelepasan cukai.

“Sebagai penguasaha kedai makan kami benar-benar terkesan dengan pandemik ini. Jumlah pelanggan merosot dengan ketara.

“Tiada apa yang diharapkan selain mengharapkan kerajaan tidak terlepas pandang golongan seperti kami.

“Pengurangan cukai, caj elektrik bagi industri dikurangkan juga dapat meringankan sedikit beban yang kami perlu pikul,” katanya yang menjalankan perniagaan di Senawang, Negeri Sembilan.

Pengusaha kedai makanan, Mohamad Fitri Sahari

Beliau juga berharap kerajaan memberi kelonggaran dalam membantu peniaga sekiranya benar-benar inigin membantu.

“Saya tidak layak mendapat Bantuan Geran Khas Prihatin kerana mempunyai tujuh orang pekerja. Bantuan Prihatin Nasional pun tak dapat kerana saya ada rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Apa pun saya tak dapat… jadi longgarlah syarat jika benar mahu membantu,” katanya. – Malaysiapost