Belanjawan 2021 perlu bersifat ‘Belanjawan Mengembang’

Belanjawan 2021 perlu bersifat ‘Belanjawan Mengembang’

Fitri Nizam

BELANJAWAN 2021 perlu bersifat ‘Belanjawan Mengembang’ manakala hutang negara usah dirisaukan dan diselesaikan kemudian, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, berdasarkan laporan siri ke-2 ‘Families on the Edge’ oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di ibu negara berada dalam kemiskinan mutlak.

Selain itu, katanya 37 peratus sukar membeli makanan mencukupi dan 70 peratus sukar memenuhi perbelanjaan keperluan asas.

“Sekiranya Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat ini berlanjutan, Malaysia mungkin berhadapan dengan pemulihan berbentuk keluk-K.

“Maksudnya, sesetengah industri memaparkan pemulihan ekonomi manakala industri lain terutamanya pelancongan dan penerbangan terus jatuh merudum,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, pemulihan keluk-K ini akan terlihat nyata dalam kalangan masyarakat apabila golongan berpendapatan tinggi kurang terkesan tetapi B40 dan M40 terutama yang bekerja sendiri, akan hilang mata pencarian dan ini menjejas kualiti kehidupan dengan teruk.

Justeru, katanya jurang ketidaksamarataan ekonomi akan semakin ketara.

“Oleh itu, Belanjawan 2021 perlulah bersifat Belanjawan Mengembang, demi menyelamat pekerjaan, perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk.

“Inilah masanya kerajaan menggandakan bantuan dan rangsangan menggunakan pendekatan bersasar kepada golongan paling terhimpit.

“Kita tidak boleh membiarkan rakyat hidup merana, perniagaan ditutup selamanya dan ekonomi negara terperangkap dalam ‘irreversible damage’ (tidak dapat dipulihkan),” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, naratif mengurangkan defisit kerajaan sebagai langkah pengukuhan fiskal perlu ditolak jauh sementara waktu.

Menurutnya. kerajaan tidak perlu risau had hutang negara yang baru-baru ini telah dinaikkan kepada 60 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Hutang negara adalah untuk kita uruskan kemudian, urusan utama dan terpenting Belanjawan 2021 ialah kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan perlu terus menggunakan pinjaman tempatan dengan memanfaatkan pasaran bon tempatan bagi mengurangkan implikasi buruk kepada ekonomi, antara lain untuk menampung peningkatan perbelanjaan dalam Belanjawan 2021.

Beliau berkata, pasaran bon tempatan yang boleh dimanfaatkan adalah Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

“Penggunaan pinjaman tempatan tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi memandangkan Malaysia tidak akan terikat dengan peraturan luar negara, berbanding pinjaman dengan peraturan ketat daripada institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Tambahan pula, pinjaman tempatan kurang terdedah risiko perubahan kadar faedah asing serta risiko penyusutan mata wang kerana hutang tersebut adalah dalam denominasi ringgit,” katanya. – Malaysiapost