Covid-19: Malaysia catat bilangan kes sembuh tertinggi

Covid-19: Malaysia catat bilangan kes sembuh tertinggi

Muhammad Mustakim Ramli

MALAYSIA mencatakan jumlah kes sembuh harian tertinggi apabila 1,000 kes sembuh Covid-19 direkodkan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 21,248.

Beliau berkata, sehingga tengah hari tadi, sebanyak 659 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah 31,548 kes.

“Sabah mencatatkan 529 kes atau 80.3 peratus dan negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan 70 kes (10.6 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

“Keempat-empat negeri ini menyumbang 599 kes (90.9 peratus) daripada jumlah harian kes positif Covid-19 secara keseluruhan, di mana negeri-negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya pada sidang media harian.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat 83 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 19 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah kekal sebanyak 249 kes.

“KKM juga ingin memaklumkan tiada pertambahan kluster baharu pada hari ini. Justeru jumlah kluster aktif adalah kekal 133 kluster dengan jumlah kluster tamat adalah 114 kluster,” katanya. – Malaysiapost