Gagal penswastaan: Selamat tinggal Felda United, UKM

Gagal penswastaan: Selamat tinggal Felda United, UKM

Muhammad Mustakim Ramli

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan Felda United dan UKM FC gagal dalam penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, berkata ia berikutan kedudukan kewangan pelabur baharu untuk menampung kos pengendalian kedua-dua pasukan itu bagi saingan musim depan didapati tidak kukuh.

Katanya, ia sekali gus turut menyebabkan Felda United dan UKM FC tidak layak untuk menyertai liga anjuran Malaysian Football League (MFL) bagi musim 2021, sama ada Liga Super atau Liga Premier.

“Terdahulu setelah proses penswastaan FC bersyarikat berakhir pada 30 September, FAM pada 5 Oktober mengumumkan status proses penswastaan FC bersyarikat kesemua 21 pasukan termasuk Felda United dan UKM FC.

“Walaupun Felda United dan UKM telah pun menyelesaikan proses penswastaan, perkembangan negatif pada masa itu berkaitan sokongan korporat dan pendanaan kedua-dua pasukan muncul.

“Ini memaksa FAM meminta penjelasan dan dokumentasi lebih lanjut daripada setiap pasukan dan pengurusan baharu yang berhasrat mengambil alih Felda United dan UKM FC,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi Felda United, biarpun mereka melengkapkan proses penswastaan FC bersyarikat dan telah diluluskan, namun Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menerusi satu siaran media pada 5 Oktober 2020 menyatakan Felda United tidak akan menyertai Liga Super atau Liga Premier mulai musim 2021.

“Susulan itu, pihak pengurusan baharu Felda United iaitu FUFC The Fighters Sdn Bhd telah mencari pelabur baharu tetapi selepas penelitian ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM mendapati kedudukan kewangan pengurusan dan pelabur baharu tidak cukup kukuh untuk mereka harungi satu musim penuh liga pada 2021.

“Bagi UKM FC pula, pada tarikh akhir iaitu 30 September 2020, FAM telah dimaklumkan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap urusan penggajian dan kewangan UKM FC.

“Susulan itu juga, pihak pengurusan baharu UKM FC iaitu Varsity Boys Sdn Bhd telah mendapatkan pelabur baharu tetapi selepas penelitian ke atas dokumen kewangan yang dikemukakan, FAM turut dapati bahawa kedudukan kewangan pelabur baharu tidak cukup kukuh,” katanya.

Stuart memaklumkan, FAM telah mengambil proses ini dengan serius bagi memberi peluang kedua-dua pasukan mendapatkan pelabur baharu dalam memastikan kebajikan pemain dan pegawai dijamin.

“FAM membuat keputusan ini bagi mengelak permasalahan berkaitan gaji pemain dan pegawai yang mungkin berlaku lagi pada musim 2021 jika sesebuah pasukan itu didapati tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk bertahan sepanjang musim,” katanya. – Malaysiapost