Keluarga penuntut Malaysia yang dibunuh mohon bantuan kerajaan

Keluarga penuntut Malaysia yang dibunuh mohon bantuan kerajaan

KELUARGA Irene Chung, penuntut Malaysia yang mati dibunuh selepas diculik seorang lelaki di Taiwan memohon kerajaan memantau siasatan kes anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata ibu bapa penuntut berkenaan yang membuat aduan di Balai Polis Sentral di sini semalam dengan menyatakan permintaan itu.

Katanya, pasangan terbabit sedang membuat persediaan untuk ke Taiwan untuk menguruskan pengebumian anak mereka yang berusia 24 tahun itu.

“Ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Sentral, Sibu tengah hari semalam bagi memohon bantuan Kerajaan Malaysia untuk memantau siasatan kes pembunuhan anak mereka itu.

“Wanita itu memaklumkan dia menerima berita berhubung kejadian yang menimpa anaknya itu selepas menerima panggilan daripada pihak Evergreen University Taiwan, Khamis lalu,” katanya seperti dilapor BH.

Terdahulu, Bernama melaporkan penahanan seorang lelaki di Kaohsiung, pada malam Khamis kerana disyaki menyebabkan kematian penuntut itu.

Lelaki berkenaan dilaporkan mengaku menjerut pelajar terbabit hingga mati dengan tali panjang dan membuang mayatnya di kawasan pergunungan Kaohsiung.

Suspek dipercayai menculik gadis berkenaan selepas jam 8 malam Rabu lalu, iaitu kali terakhir dia dilihat masih hidup. – Malaysiapost