KWSP: Pemuda Ikatan minta kerajaan perhalusi semula

KWSP: Pemuda Ikatan minta kerajaan perhalusi semula

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperhalusi kembali cadangan agar rakyat diberi.pilihan untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ketuanya, Shahir Adnan berkata ini kerana wang tersebut adalah simpanan rakyat, bukan milik bank persendirian atau kerajaan.

Katanya, berdasarkan laporan KWSP, sehingga Disember 2019, jumlah ahli pencarum aktif KWSP adalah sekitar 7.63 juta.

“Daripada jumlah ini, kira-kira tiga juta ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM20,000 di dalam akaun KWSP mereka.

“Berdasarkan maklumat ini, sekiranya 4.63 juta ahli mengeluarkan RM10,000 daripada akaun 1, manakala tiga juta ahli lagi mengeluarkan RM 5,000, maka jumlah besar adalah RM 61.3 billion.

“Angka ini mampu menjana ekonomi dalam negara apabila rakyat membeli barangan keperluan harian. Kedai-kedai harian dapat kembali bernafas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KWSP seharusnya tidak gusar kerana mereka telah mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2020.

Pada masa sama, katanya, berdasarkan kedudukan penyata kewangan berakhir 31 Disember 2018, jumlah aset KWSP adalah sekitar RM894 billion.

“Ini bermakna, KWSP mempunyai kedudukan ekonomi kukuh dan berada pada landasan terbaik ketika krisis ekonomi hari ini,” katanya. – Malaysiapost