LUAS kesan insiden kebakaran punca pencemaran bau

LEMBAGA Urus Air Selangor (LUAS) mengesan satu insiden kebakaran kilang memproses plastik berhampiran Sungai Kuang yang menyebabkan pencemaran bau sekitar tiga ton, malam tadi.

Exco Selangor, Hee Loy Sian, berkata kebakaran itu dikesan ketika Ops Sumber Air dijalankan kira-kira jam 10 malam tadi.

Katanya,LUAS dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang melaksanakan tindakan segera menangani pencemaran bau sekitar tiga ton di sungai berkenaan.

“Berdasarkan maklumat, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan insiden kebakaran premis itu berlaku sekitar jam 6 petang.

“Siasatan LUAS dan Air Selangor mendapati sisa kebakaran itu sudah membeku pada permukaan air, namun sisa kehitaman kesan bahan terbakar mengalir masuk ke alur air di hulu Sungai Kuang menyebabkan kesan bau sekitar tiga ton melalui pensampelan bau yang dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jarak insiden ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) terdekat iaitu Rantau Panjang anggaran dalam 33 kilometer (km) dan tiada henti tugas LRA serta gangguan bekalan air kepada pengguna dilaporkan.

Jelasnya, LUAS dan Air Selangor melaksanakan langkah awal nyah bau dengan meletakkan 43 beg karbon aktif (activated carbon) untuk mengawal pencemaran di Sungai Kundang (aliran masuk daripada Sungai Kuang) sekali gus mengelakkan bau dari sisa kebakaran itu mengalir sehingga ke Sungai Sembah dan seterusnya ke Sungai Selangor.

“Dilaporkan bomba berjaya memadamkan kebakaran itu jam 4.30 pagi dan sehingga kini, LUAS, Air Selangor dan MPS dalam proses menghentikan sisa kebakaran daripada mengalir ke sungai melalui cadangan pembinaan ban tanah di lokasi.

“LUAS juga akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122, Enakmen LUAS 1999 kepada kilang terlibat berkenaan risiko dan ancaman insiden berkenaan kepada kualiti sumber air,” katanya.

Loy Sian berkata, langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak terlibat – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights