Masih ramai ingkar pakai pelitup muka

Muhammad Mustakim Ramli 

TIDAK memakai pelitup muka adalah kesalahan tertinggi ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata seramai 174 individu dikesan melakukan kesalahan itu daripada jumlah 456 individu yang ditahan polis. 

“Antara kesalahan lain adalah membabitkan penjarakan fizikal iaitu 74 individu, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (72), aktivti pusat hiburan (34), dan lain-lain kesalahan (102). 

“Kesemua kesalahan membabitkan 456 individu ini telah pun dikompaun,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong diberkas dalam Operasi Benteng. 

“Sebanyak 298 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam, di mana kita juga merampas dua kenderaan darat. 

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights