Mayat tinggal separuh akibat dibaham buaya

Mayat tinggal separuh akibat dibaham buaya

MAYAT lelaki warga Indonesia yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Bilat pada Selasa lalu, ditemui hanya separuh badan di dalam parit besar, berhampiran Kuala Baram, pagi ini.

Mayat separuh badan, Muhammad Syopyan Nasution, 24, itu ditemui kira-kira jam 9.15 pagi ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mengesahkan penemuan itu sambil berkata ia ditemui pekerja Sarawak Land Shipyard di dalam parit berkenaan.

Katanya, mereka kemudiannya menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bagi menjalankan khidmat khas mengeluarkan mayat mangsa.

“Ketika tiba di lokasi, bomba mendapati hanya separuh sahaja mayat mangsa yang masih tinggal iaitu pada bahagian dada hingga kepala,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Menurutnya, bomba percaya separuh lagi mayat mangsa sudah dibaham oleh reptilia ganas itu dan diseret ke dalam parit terbabit.

Difahamkan, ahli keluarga mangsa sudah melakukan pengecaman dan berkata, ia adalah mangsa yang dipercayai dibaham buaya di Sungai Bilat.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pekerja kilang papan lapis di Kuala Baram di sini hilang selepas didakwa disambar buaya di Sungai Bilat, malam Selasa lalu.

Bagaimanapun, kehilangan mangsa hanya dilaporkan kepada polis, semalam.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat. – Malaysiapost