JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu profesional tanpa menjadi ‘alat kerajaan’ yang bermotifkan politik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Mohd Shaid Rosli.
Beliau berkata, pihaknya sangat kecewa dengan maklum balas ROS apabila menyatakan permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih dalam penelitian dan semakan walaupun selepas hampir tiga bulan.
Beliau tidak bersetuju dengan alasan ROS apabila mendakwa Jawatankuasa Penaja Pejuang tidak melakukan semakan pada setiap permohonan yang dikemukakan terutama dokumentasi penting seperti perlembangaan parti.
“Setiap hari saya mengikuti perkembangan permohonan parti Pejuang ini. Ini kerana sebagai Adun Bebas saya menunggu kelulusan parti Pejuang bagi membolehkan saya menyertainya.
“Saya juga merasakan wujud unsur pilih kasih susulan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang diluluskan oleh jabatan itu dengan segera dalam proses yang amat meragukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, beliau meminta supaya Menteri Dalam Negeri untuk lebih profesional dalam menjalankan tugas.
“Beliau perlu menyelesaikan masalah di bawah kementeriannya bagi menjaga integriti kementerian itu sendiri,” katanya. – Malaysiapost