Pengeluaran Akaun 1: BNM boleh bantu – Najib

Fitri Nizam

BANK Negara Malaysia (BNM) boleh membantu merealisasikan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dengan membeli bon dari pasaran tempatan jika diperlukan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, langkah BNM itu tidak berbahaya kerana Malaysia dan dunia kini dalam zaman inflasi negatif akibat ekonomi yang tertekan.

“KWSP juga boleh memilih untuk membayar pengeluaran ‘one-off’ ini secara bulanan dalam tempoh tiga bulan atau enam bulan.

“Bila duit ini sampai ke rakyat terdesak dan dibelanjakan, ekonomi tempatan juga dirancakkan,” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan kebimbangan sesetengah pihak bahawa KWSP akan tertekan dari segi aliran wang tunai jika kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan ‘one-off’ sehingga RM10,000 dari Akaun 1.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, seramai 4.57 juta pencarum telah diluluskan untuk Skim i-Lestari KWSP pakej PRIHATIN kerajaan yang membenarkan pengeluaran bulanan dari Akaun 2.

Katanya, dalam tempoh lima bulan dari April hingga Ogos 2020, jumlah pengeluaran i-Lestari adalah sebanyak RM7.48 bilion.

“Saya jangka jumlah pencarum yang mahu pengeluaran ‘one-off’ Akaun 1 juga sekitar jumlah yang diluluskan skim i-Lestari.

“Maka 4.57 juta pencarum didarabkan dengan RM10,000 adalah RM45.7 bilion. Itupun jika semua mahu atau layak untuk mengeluarkan sebanyak RM10,000,” katanya.

Najib berkata, di zaman norma baharu ini kaedah baharu diperlukan dalam pendekatan kerajaan utnuk membantu rakyat serta merancakkan ekonomi.

“Sukar untuk membenarkan tak bermaksud mustahil untuk dilakukan. Nak, seribu daya.

“Pada masa depan setelah ekonomi pulih apabila krisis Covid-19 berlalu, barulah kerajaan dan pencarum cari jalan untuk pulihkan simpanan usia tua kita di KWSP,” katanya.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights