Penuntut Malaysia dibunuh di Taiwan

Penuntut Malaysia dibunuh di Taiwan

SEORANG lelaki ditahan di Kaohsiung, Taiwan pada malam Khamis lalu kerana menyebabkan kematian seorang penuntut Malaysia, lapor Badan Berita Pusat (CNA) Taiwan.

Suspek mengaku mencekik penuntut universiti berusia 24 tahun hingga mati dengan tali panjang dan membuang mayatnya di pergunungan Kaohsiung.

“Berdasarkan bukti setakat ini, dipercayai bahawa suspek menculik gadis berkenaan selepas 8 malam Rabu, yang juga merupakan kali terakhir dia dilihat masih hidup,” kata polis seperti dilapor Bernama.

Polis mengesahkan pihak universiti mangsa ada membuat laporan kepada pegawai imigresen pada Khamis dengan mengatakan bahawa penuntut berkenaan hilang.

Selepas Jabatan Polis Kota Tainan diberitahu mengenai kes tersebut, penyiasat menjumpai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan mangsa berjalan di sepanjang jalan di daerah Gueiren, dekat dengan jalan tol kereta api pada 8 malam sebelum hilang dari pandangan.

Pencarian di kawasan itu menemukan kasut yang kemudiannya disahkan milik mangsa sekali gus menyebabkan polis percaya bahawa dia diculik di daerah terbabit.

Polis kemudiannya menumpukan siasatan terhadap sebuah kereta yang didapati mempunyai kesan darah dan sebungkus seluar dalam wanita.

Nombor pendaftaran kenderaan terbabit membantu polis mengesan suspek berusia 28 tahun.

Tidak lama selepas pengakuannya, polis menjumpai mayat mangsa di lereng bukit di Kaohsiung.

Menurut siasatan awal, polis mengatakan, mangsa tidak mengenali suspek.

Kes terbabit diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Daerah Ciaotou di Kaohsiung untuk siasatan lanjut. – Malaysiapost